Esei yang terkenal “Apa yang ISIS mahu?” dari The Atlantic memetik kosong, “Realitinya adalah Islamic State adalah Islamik. Sangat Islamik.” Sudah tentu, ayat ini tidak memberi makna tanpa menjelaskan apa makna perkataan ‘Islam’, siapa yang patut menterjemahnya, dan kenapa setiap pihak yang berwibawa di dalam komuniti aras perdana telah mengisytiharkan ideologi ISIS melanggar perintah Islam. Artikel ini akan memberikan  pandangan-pandangan tentang ekstrimisma, Islamophobia, dan keganasan agama. Saya fikir Islam bencikan kita. —Donald J. Trump, Presiden Amerika Syarikat - Pilihan Kini Islam telah menjadi satu topik hangat samada dalam media dan dalam wacana umum, seringkali dibahaskan dalam kalangan ahli-ahli politik dan penganalisis politik, serta aktivis- aktivis dan ahli akademik, malah termasuk rakyat-rakyat biasa. Pelbagai insiden keganasan seringkali berlaku atas nama Islam, oleh itu umat Islam sudah terbiasa dengan pertuduhan terhadap kepercayaan mereka yang dipaparkan  dalam media setiap kali perkara-perkara seperti itu berlaku. Pertuduhan bahawa Islam itu sendiri bertanggungjawab terhadap keganasan-keganasan ini, dan secara tidak langsung semua penganutnya adalah bersalah kerana menyokong sebuah doktrin yang menganjurkan keganasan. Akibat dipengaruhi oleh retorik ini, ramai telah mengambil tindakan terhadap umat Islam dan menjadikan jumlah jenayah kebencian meningkat di negara-negara Barat.[1] Pada bulan Oktober 2016, FBI telah menangkap kumpulan militan berhaluan kanan “Crusaders” di Kansas yang didapati menyimpan senjata, peluru dan bahan-bahan letupan serta berniat untuk menyerang kumpulan imigran beragama Islam di tempat mereka, kerana mempercayai frasa kata “hanya orang Islam yang mati adalah orang Islam yang baik.”.[2] Pada bulan Ogos 2016, seorang imam dan pembantunya ditembak di kepala ketika mereka sedang meninggalkan masjid mereka di New York. Mereka telah ditembak oleh seorang lelaki yang pernah menzahirkan kebenciannya kepada umat Islam.[3] Pada bulan Jun 2016, sebuah bom petrol telah diletupkan diluar sebuah masjid di Perth ketika ratusan jemaah sedang beribadat di dalamnya.[4] Pada 2011, Anders Behring Breivik telah membunuh 77 orang di Norway untuk menarik perhatian khalayak kepada manifesto miliknya yang menganjurkan perjuangan anti-Islam dan menyatakan bahawa Islam adalah satu ancaman besar ke atas Eropah dan berulang kali memetik kata-kata Islamophobik Amerika tidak kurang dari 64 kali.[5] Kanak-kanak Islam pula sering dibuli di sekolah-sekolah akibat kepercayaan mereka, dan para Muslimah pula diserang di tempat awam kerana memakai hijab, manakala masjid-masjid dan pusat-pusat komuniti pula menjadi sasaran  mereka yang tidak bertanggungjawab.
Tiada satu pun tindakbalas ini menghasilkan penyelesaian kepada sebarang keganasan. Walau apapun yang telah dilakukan untuk merungkai masalah ini, masih lagi terdapat kekeliruan yang luar biasa di dalam menjawab persoalan bagaimana keganasan ini boleh muncul, bagaimana mereka menzahirkannya melalui doktrin agama, dan bagaimana pemahaman agama mereka adalah berlainan dari apa yang sepatutnya diamalkan oleh sesebuah komuniti. Ini adalah isu-isu yang sepatutnya dijelaskan. Artikel ini bertujuan untuk memperbetul wacana kontemporari dengan menyatakan sifat-sifat pergerakan yang melakukan keganasan atas nama Islam. Sebuah wacana yang lebih produktif adalah perlu untuk memastikan masyarakat bergerak melepasi trend semasa ketaksuban dan retorik, serta mula bekerjasama untuk menyelesaikan cabaran masa kini. Artikel ini akan membincangkan empat isu berikut:
  1. Menyekutukan Agama dengan Keganasan
  2. Menyekutukan Islam dengan Keganasan
  3. Asal-Usul Gerakan Keganasan di Dunia Islam
  4. Analisis Ideologikal Gerakan Keganasan

Menyukutukan agama dengan keganasan

Apabila kita mendengar tajuk-tajuk berita berkaitan keganasan atau perbuatan ganas berleluasa yang dilakukan atas nama sebuah agama; tindakan ini pantas dijadikan sebagai bukti bahawa sesebuah agama itu adalah jahat, oleh itu ia perlu dihapuskan.
Tetapi apakah maksud sebenar yang dikatakan agama menjadi punca kepada keganasan? Adakah ia bermakna apa sahaja kewujudan, ekspresi atau amalan sesebuah agama itu memerlukan suatu perlakuan ganas? Jika seseorang itu mengambil masa untuk berfikir dengan mendalam tentang majoriti penganut sesebuah agama yang tidak berlaku ganas akan mengubah persepsi sebegitu. Atau kita sebenarnya maksudkan sebuah ideologi agama lebih berupaya untuk menghasilkan penganut yang ganas dari sebuah ideologi militan yang berpaksikan fasisme, nasionalisme, rasis ataupun segala ‘isme’ yang lain? Fikirkan sejenak tentang konflik sekitar nasionalisme yang mendasari Perang Dunia Pertama, yang telah meragut nyawa 15 juta orang[6] atau fahaman fasisme yang terlibat dalam Perang Dunia Kedua, yang telah meragut lebih kurang 60-80 juta nyawa.[7] Manakala Revolusi Perancis, yang dikaitkan dengan prinsip-prinsip liberalisme dan juga Pencerahan, telah menyaksikan hampir  40 ribu orang dihukum pancung! Dari sudut statistik manakah yang orang ramai memberikan pendapat bahawa sesebuah ideologi agama membawa potensi yang lebih besar untuk perperangan berbanding ideologi-ideologi lain?
Bagaimana pula dengan keganasan-keganasan yang berpunca daripada ideologi-ideologi anti-agama? Sebagai contoh, apakah pendapat orang ramai tentang keganasan anti-agama yang dilakukan oleh rejim komunis Soviet, di mana mereka cuba untuk menghapuskan agama secara aktif dan menggantikannya dengan “athiesme saintifik”? Akibat mempercayai bahawa agama adalah “candu kepada masyarakat” (mengikut Marx) dan “kekasaran yang tak terkata” (mengikut Lenin) menurut kata mereka ia patut dihapuskan, rejim Soviet telah membunuh beribu paderi dan memusnahkan gereja-gereja, masjid-masjid dan sekolah-sekolah agama dalam usaha mereka untuk menghasilkan sebuah utopia yang mereka inginkan.[8] Pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Soviet begitu banyak, dianggarkan hampir 62 juta orang telah kehilangan nyawa.[9]
Imbasan ringkas sejarah ini dapat menggambarkan bahawa kandungan keagamaan atau sekular dari sesebuah ideologi bukanlah penentu potensi keganasan. Sebaliknya, sifat xenofobik dan totalitarian yang membolehkannya mengikut kepentingan pertubuhan berpaksikan keganasan yang bertujuan untuk menghapuskan lawan politik dan meluaskan wilayah mereka. Mana-mana ideologi yang memerlukan penyatuan dan penyingkiran orang luar adalah berpotensi untuk mendatangkan keganasan.
Menerusi esei ‘The Eight Stages of Genocide’(Lapan Pintu Pembunuhan Beramai-Ramai), Professor Gregory Stanton dari George Mason University memberi gambaran kepada bahaya penyahmanusiaan: “Penafian kemanusiaan orang lain adalah satu langkah yang membenarkan pembunuhan tanpa menjatuhkan hukuman terlebih dahulu”.[10] Beliau juga menekankan pentingnya menentang pengucapan kebencian dan propaganda yang menafikan kemanusiaan kumpulan minoriti dan mewujudkan perlakuan bermusuhan terhadap mereka.
Ini juga bertindak sebagai ujian litmus untuk menilai sesebuah ideologi—jika ia mempromosikan kritikan yang kejam dan sikap bermusuhan kepada bukan penganut sesebuah ideologi itu maka ia perlu ditentang, dan jika interpretasi sesebuah agama itu membawa ke arah apa yang telah disebutkan tadi maka ia perlu ditentang oleh pengikut arus perdananya (bahagian di bawah menggariskan bagaimana masyarakat Islam arus perdana menolak dan menafikan manipulasi Islam di tangan gerakan pengganas).
Xenophobia dan totalitarianisme pula mengambil bentuk yang lain, bergantung kepada konteks dimana ia dikembangkan. Kumpulan-kumpulan yang cuba mendapatkan kuasa dan sumber-sumber akan mengeksploitasi garis-garis sempadan yang sedia ada di dalam masyarakat.[11] Apabila pergerakan keganasan wujud di dalam sebuah masyarakat yang mempunyai identiti nasional yang kuat, mereka lazimnya akan menggunakan ucapan-ucapan yang berbaur nasionalisme untuk menggerakkan agenda politik mereka. Apabila keganasan tercetus di wilayah-wilayah yang mempunyai identiti etnik dan budaya yang kuat, pergerakan militan ini akan menggunakan isu-isu perkauman sebagai strategi mereka. Maka adalah tidak mengejutkan jika di wilayah-wilayah yang berpegang kepada identiti agama yang kuat, retorik pergerakan keganasan ini akan berlegar dibawah ideologi agama dan akan memanipulasi ayat-ayat suci dari kitab-kitab sesebuah agama untuk mendatangkan justifikasi ukhrawi kepada eksploitasi duniawi.
Tetapi adakah ini bermakna hubungkait antara agama dan keganasan adalah sebuah kesan sampingan sahaja, sebagai hasil sampingan faktor-faktor geopolitikal yang lain? Ini juga adalah sebuah simplisme yang salah.
Apabila sebuah konflik tercetus, orang ramai akan berkumpul ke arah identiti kumpulan yang akan memberikan mereka paling banyak kekuatan emosional dan  makna perpaduan intra-kumpulan yang paling kuat[12]—ini adalah faktor yang sangat penting, ia sering dilihat sebagai penjelasan kepada motivasi sesebuah kumpulan individu itu menyertai sesebuah pergerakan bersenjata. Oleh kerana agama mempunyai kapasiti yang amat tinggi untuk memupuk emosi serta perpaduan sosial yang kuat, tidak mengejutkan bahawa eksploitasi politik terhadap identiti sesebuah agama selalu berulang dalam sejarah peradaban manusia. Namun ia bukan kerana agama menuntut keganasan—tetapi sebuah komitmen terhadap agama akan memupuk emosi yang kuat dengan penekanan kepada masyarakat, matlamat, pengorbanan dan kebenaran. Rangsangan emosi yang kuat menjadi sebidang tanah yang subur untuk instrumentalisasi luaran terhadap agama oleh sesebuah militan yang cuba untuk membina ideologi totaliter. Tetapi sekali lagi ia tidak unik dalam hal ini, kerana ideologi dan sentimen sekular lain seperti kebanggaan nasionalistik, kebudayaan, etnik, dan/atau linguistik boleh, dan telah, seperti yang mudah diserap oleh kumpulan-kumpulan pengganas ini. Perbincangan sejarah terdahulu telah memberikan sebuah gambaran yang tepat mengenainya. Penyalahgunaan agama di tangan organisasi jenayah tidak tidak hanya bermakna pengabaian agama itu sendiri; penyalahgunaan sains dan kemajuan teknologi juga sering berlaku didalam sesebuah konflik. Kita tidak menafikan semua sains kerana eugenik Nazi[13] , eksperimen ke atas manusia Khmer Rouge[14], atau frenologi[15]; dan kita tidak boleh menafikan agama kerana ia adalah sebuah identiti sosial yang kuat dimana ia adalah tempat untuk orang ramai bergantung harap semasa konflik.
Akhir sekali, perlu ditekankan bahawa perbincangan ini tidak mencerminkan sebuah falsafah kosong tanpa kesan praktikal. Bahaya ketaksuban polemik moden keatas agama sebagai punca utama keganasan adalah ia tidak menghentikan kebencian dan keganasan, sebaliknya menyumbang dengan mewujudkan satu lagi momokan iaitu xenofobia ke arah penganut-penganut sesebuah agama. Ia langsung tidak memberikan pandangan yang kritikal ke arah penyelesaian konflik-konflik yang kompleks di dunia, tetapi sebaliknya ia mendatangkan sebuah suasana  bertoksik kepada sebuah retorik permusuhan yang berterusan. Bagi melangkah ke arah penyelesaian yang praktikal dan efektif, adalah penting bagi kita untuk melangkau serta melepasi retotik sebegini dan berkerjasama untuk bersatu dan membina antara satu sama lain.

Menyekutukan Islam dengan keganasan—Menyalahkan Islam dan Umatnya

Malang sekali pada hari ini, apa sahaja yang dikaitkan dengan keganasan akan dikaitkan dengan Islam, apatah lagi dengan kewujudan kumpulan-pumpulan pengganas yang mengaitkan diri mereka dengan Islam setiap kali mereka melakukan keganasan. Hasilnya, lebih dari 1.6 billion umat Islam seluruh dunia terpaksa berhadapan dengan cabaran untuk mengasingkan diri mereka daripada jenayah yang sememangnya bukan mereka lakukan. Malah setiap pihak berkuasa dan organisasi Islam yang berkepentingan, imam-imam dan masjid-masjid seluruh dunia telah berkali-kali mengutuk apa sahaja bentuk keganasan yang telah dilakukan, namun malang sekali perkara sebegini sering diabaikan oleh kepalsuan yang disorotkan—dimana orang ramai akan mengabaikan apa sahaja yang tidak diberikan perhatian oleh media—mereka hanya akan melihat kepada kaitan antara kumpulan pengganas dan perkataan ‘Islam’ yang sentiasa diulang-ulang, dan tidak akan mendengar kata-kata majoriti umat Islam yang mengutuk perbuatan-perbuatan kumpulan pengganas tersebut.
Malah, ia telah menjadi tumpuan pihak media dan ahli-ahli politik untuk berwacana samada ‘Islam’ itu sendiri ganas dan samada kumpulan pengganas itu sendiri layak digelar sebagai ‘Islamik’. Namun apakah yang sebenarnya kita bincangkan? Siapakah yang lebih layak untuk memberikan definisi kepada perkataan ‘I-S-L-A-M’ itu? Ia jelas sekali bahawa perkataan ‘Islam’ itu membawa maksud yang amat berbeza apabila ia disebut oleh seorang pengganas daripada  maksud perkataan yang sama apabila ia keluar dari mulut lebih dari 1.5 billion golongan wanita, lelaki dan kanak-kanak yang menganggap diri mereka adalah wakil sebenar agama ini.[16] Nama di atas sebuah label mungkin sama, tetapi isinya adalah amat berlainan.
Al-Quran mengutuk keganasan:
Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya (5:32) Dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini (25:63) Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan) (2:190) Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu) (60:8)

Islam di dalam minda umatnya

Kepada umat Islam berarus perdana, Islam mewakili sebuah perjalanan spiritual ke arah Tuhan dengan hanya menyembah-Nya dan menjaga ciptaan-Nya (Qur’an 4:36). Umat Islam seluruh dunia yakin bahawa belas kasihan dan kasih sayang (rahmah dalam bahasa arab) adalah sifat asas Tuhan yang Maha Berkuasa (Qur’an 1:1), Rasul-Nya, Nabi Muhammad ﷺ (Qur’an 21:107), dan agama Islam (deen al-Rahman). Nilai-nilai Islam dipaparkan menerusi pelbagai ayat di dalam Al-Quran untuk sentiasa membalas kejahatan dengan kebaikan (e.g. Qur’an 25:63, 41:34), untuk sentiasa adil walaupun kepada mereka yang membenci dan bermusuh dengan kita (Qur’an 5:8), untuk menentang hanya dengan mereka yang menentang kita (e.g. Qur’an 2:190) dan melayan mereka yang tidak menentang kita dengan kebaikan dan keadilan (Qur’an 60:8). Nabi Muhammad ﷺ menjadi contoh kepada umat Islam dalam memberikan kemaafan walaupun kepada mereka yang menganiaya baginda dan pengikut-pengikut baginda, dan mengajar umat Islam untuk sentiasa mengasihani semua yang berada di dunia ini (Jami’ al-Tirmidhi) dan “sentiasa bersedekah kepada semua orang biarpun berlainan kepercayaan” (Musannaf Ibn Abi Shaybah). Al-Qur’an dan Nabi Muhammad ﷺ mengutuk keras keganasan; firman Allah dalam Al-Qur’an:
Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya (5:32)),
Dan Rasulullah ﷺ berkata:
Seseorang itu akan kekal tenang selagi dia tidak menggugurkan darah (Sahih Bukhari).
Nabi Muhammad ﷺ mendirikan sebuah piagam yang terkenal dengan mengisytiharkan paderi-paderi Kristian gereja St. Catherine berada di bawah perlindungannya, dan baginda menubuhkan perlembagaan terkenal Madinah yang mengisytiharkan sokongan bersama antara Muslim dan Yahudi dan menegakkan kebebasan beragama untuk kedua-dua komuniti.[17] Nabi Muhammad ﷺ juga menjadi contoh kepada perhubungan positif yang sepatutnya dijaga oleh setiap umat Islam dengan mereka yang tidak menganut agama Islam. Nabi Muhammad ﷺ juga secara peribadi menaja dan menubuhkan dana berterusan untuk menyokong keluarga Yahudi yang miskin di Madinah[18], dan baginda juga menyantuni penganut Kristian dari Najran di masjid baginda dimana mereka dibenarkan beribadat didalamnya.[19]Ini adalah kata-kata dan perbuatan yang mewakili sifat belas kasihan yang sejati Islam di dalam minda masyarakat Islam arus perdana seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut tentang ajaran Islam yang berkaitan dengan interaksi antara orang Islam dan bukan Islam, rujuk artikel ini.[20]
Islam di minda pengganas
Walau bagaimanapun bagi seorang pengganas, Islam membawa sebuah makna yang berlainan. Ia telah digerakkan dan disusun oleh agenda politik mereka hanya untuk mendominasi dunia dan mempunyai niat untuk menghapuskan penentang mereka. Pengganas ini sentiasa mencari ayat-ayat yang akan dijadikan asas kepada ide totalitatiran mereka, (sepertimana mereka yang islamophobik yang lain) mereka akan memetik dan menyalahertikan secara selektif ayat-ayat dari Al-Quran dan menafsirkannya secara umum tanpa menghiraukan konteks-konteks tekstual dan sejarah, serta tafsiran ulama-ulama Islam. Sebagai contoh mereka memetik sepotong ayat mengenai penduduk Mekah yang melancarkan perang ke atas umat Islam yang berkata, “Dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu dapati mereka (Qur’an 2:191), dan langsung mengabaikan ayat berikutnya: “Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu,” dan juga ayat seterusnya: “Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.” Tafsiran salah dan palsu mereka kekurangan merit akademik (lihat artikel ini untuk eksposisi terperinci) dan tidak mendapat kelulusan dari orang lain kecuali dari penjenayah yang berfikiran sama[21] dan golongan xenofobik anti-Muslim.
Tetapi bukankah umat Islam menyokong Shari’ah​?
Perkataan ‘Shari’ah’ seringkali dibicangkan dan diperdebatkan, namun terdapat perbezaan yang amat ketara antara maksudnya kepada umat Islam arus perdana dan apa yang telah ditapis dan dikikis oleh pergerakan-pergerakan totalitarian dan juga media. Dari sudut bahasa Arab; ‘Shari’ah’[22] bermaksud jalan atau laluan, dan prinsipnya didasari ulama-ulama ketika berbincang mengenai lima Maqasid al-Shari’ah (objektif Shar’iah): pemeliharaan nyawa manusia, kepercayaan, intelek, kekayaan dan keluarga.[23] Ia mewakili sebuah pendekatan secara menyeluruh[24] dalam usaha untuk meningkatkan kemakmuran dalam sesebuah masyarakat. Shari’ah mesti didampingi dengan ilmu fiqh, iaitu tafsiran manusia tentang bagaimana untuk menggunakan undang-undang dan prinsip-prinsip suci di dunia fizikal mengikut konteks-konteks tertentu. Fiqh adalah dinamik dan sentiasa berubah-ubah mengikut tempat dan waktu. Apa yang lebih penting tafsiran manusia ke atasnya harus sentiasa konsisten dengan prinsip-prinsip teologi Islam dengan menegakkan belas kasihan, keadilan dan kebijaksanaan. Sepertimana yang telah diperkatakan oleh ahli teologi Islam, Ibn al-Qayyim (d. 751 H),
Shari’ah secara keseluruhannya adalah keadilan, belas kasihan, kebijaksanaan dan kemakmuran. Oleh itu apa sahaja keputusan yang menggantikan keadilan dengan ketidak adilan, belas kasihan dengan kekejaman, kemakmuran dengan kekacauan, atau kebijaksanaan dengan kebodohan, adalah keputusan yang tidak patut berada di dalam Shari’ah, walaupun ia dikatakan seperti itu kerana mengikut beberapa tafsiran.[25]
Kepada kumpulan-kumpulan militan pula (malang sekali, oleh kerana pengaruh media; orang lain juga), shari’ah hanya merujuk kepada sebuah set hukuman jenayah yang dikenali sebagai hudud. Malah, pada tahun 2013, tinjauan Pew sering dipetik oleh pihak-pihak Islamofobik untuk menyokong[26] pendapat mereka bahawa umat Islam arus perdana tidak berbeza dengan kumpulan-kumpulan militan ini—tambahan pula, hukuman-hukuman kejam ini disokong oleh peratusan besar umat Islam di beberapa negara, bukan? Walau bagaimanapun, ini adalah sebuah salah tanggapan. Sebuah perbincangan tentang perundangan Islam mengenai hudud dan tanggapan umat Islam komtemporari tentang topik ini tidak terjangkau oleh artikel ini. Namun pendekatan tinjauan yang telah dijalankan ini agak bermasalah kerana ia menjadikan jawapan balas seseorang responden itu terlalu simplistik (lazimnya hanya ‘ya’ atau ‘tidak’), dan responden ini mempunyai peluang yang amat terhad untuk menyampaikan pemahaman atau kejahilan mereka tentang konsep keagamaan yang sedang dibincangkan. Sebagai contoh, ridda (seringkali diterjemahkan sebagai ‘murtad’), tidak diletakkan dibawah bahagian hukuman jenayah didalam buku-buku perindangan Islam klasik, tetapi ia diletakkan dibawah bahagian perperangan, kerana terdapat bahagian pemahaman yang khusus bahawa ia diaplikasikan kepada penentang-penentang bersenjata.[27] jadi untuk memanggil undang-undang ini sebagai ‘undang-undang murtad’ pada dasarnya adalah salah walaupun kebanyakan umat Islam zaman moden kurang arif dengan konteks sejarah dan latar belakang butiran lengkap perundangan ini. Kebanyakan ulama bersepakat menyatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ sememangnya mengamalkan prinsip kebebasan beragama.[28] Tambahan pula, tinjaun Pew juga tidak memasukkan beberapa informasi yang penting untuk menafsir data tinjauan dengan sewajarnya dari laporan yang telah diterbitkan. Bahagian yang paling kerap dipetik adalah 88% rakyat Mesir menyokong hukuman mati ke atas orang yang telah murtad. Walaubagaimanapun, sebuah analisis subkumpulan telah mendapati bahawa kumpulan rakyat Mesir yang menolak undang-undang shari’ah adalah lebih cenderung untuk menyokong hukuman mati kepada golongan murtad (95.7%), jika dibandingkan dengan mereka yang mahukan undang-undang syari’ah (86.3%).[29] Ini mungkin sebuah paradoks, lagipun, mengapa pula ada orang yang menolak undang-undang agama, mempunyai tanggapan yang lebih keras mengenai agama? Sebetulnya, tanggapan keras terhadap murtad tidak semetinya ditentukan oleh semangat keagamaan untuk mengikut undang-undang suci dengan teliti, tetapi ia lebih dipacu oleh persepsi budaya menjaga air muka dan kehormatan, fahaman politikal dalam menentang Westernisasi ataupun konflik dengan komuniti-komuniti lain  di dalam negara tersebut (cth. Penganut Kristian Koptik). Ketua-ketua komuniti Islam juga akan menganggap statistik ini adalah konsisten dengan sebuah fenomena yang lebih luas dimana sesetengah penganut tidak begitu mengamalkan agama mungkin memiliki pandangan yang lebih keras dan tidak toleran tentang agama, ini lazimnya berlaku apabila peranan agama diturunkan tahapnya sehingga dianggap sebagai sebuah label identiti tanpa panduan ulama-ulama. Data dari tinjauan Gallup pula mendapati penganut agama Islam yang mengutuk tindakan pengganas sering memetik alasan-alasan dari dasar agama untuk menyokong bantahan mereka, manakala mereka yang menyatakan sokongan kepadanya lazimnya memetik alasan alasan politikal.[30] Kembali kepada isu dimana hukuman kejam yang kononnya ditetapkan oleh undang-undang Islam, lagi sekali konteks-konteks tafsiran dan sejarah penting  ditinggalkan dari tinjauan ini. Apabila ditanya jika ayat-ayat yang memberikan hukuman dari Al-Qur’an ini adalah sah, sudah tentu ramai yang akan mengagak bahawa majoriti besar umat Islam akan menjawab ‘ya’. Tetapi soalan yang lebih penting adalah bagaimana undang-undang tersebut difahami dan diletakkan di dalam sebuah konteks hari ini—dari sudut fiqh contohnya.[31] Undang-undang ini adalah tertakluk kepada perbincangan mendalam mengikut buku-buku perundangan Islam dimana akan dikupas dan dinilai mengikut syarat-syarat ketat seolah-olah ia mahukan aplikasinya tidak dapat digunakan lagi[32]—ini adalah selari dengan penekanan Rasulullah ﷺ yang menyatakan bahawa hudud adalah sebagai halangan psikologi dan menggalakkan pengikut baginda untuk tidak melaksanakan hukuman hudud dengan berkata,
Elakkan hudud sehabis mungkin; jika ada apa sahaja yang boleh mendatangkan keraguan kepada yang tertuduh maka lakukannya. Kerana seorang hakim yang melakukan kesilapan dalam niat memaafkan adalah lebih baik dari melakukan kesalahan ketika menjatuhkan hukuman.[33]
Pendek kata, perbincangan mengenai shari’ah adalah jauh lebih rumit dan teliti dalam kalangan ulama Islam berbeza dengan apa yang digambarkan oleh pihak-pihak yang islamofobik, media dan juga pihak kumpulan pengganas.
Gambaran media dan khalayak ramai tentang Islam
Adalah malang sekali kerana sebahagian besar media popular telah menerima Islam sepertimana yang telah digambarkan oleh pihak pengganas, dan secara tidak langsung mempromosi dan menormalisasikannya sebagai gambaran sebenar Islam dengan berulangkali mengaitkannya dengan jenayah-jenayah yang berlaku setiap hari. Malah ramai ahli politik menekankan bahawa perkataan ‘Islamik’ harus diletakkan apabila menamakan sesebuah organisasi pengganas. “Anda tidak boleh menentang musuh jika anda tidak tahu siapa yang anda tentang!” mereka berkata dengan keras. Tetapi apakah bantuan yang dapat ia berikan jika kita kaitkan pengganas-pengganas dengan sebuah komuniti yang mempunyai satu-setengah-bilion penganut? Jika kita tetap berkeras dengan menggunakan label yang sama antara penjenayah dan ahli-ahli komuniti yang aman makmur, tentunya akan mendatangkan kekeliruan bukan? Umat manusia adalah makhluk yang mudah, dan hasil dari serangan bertali arus ISLAM = KEGANASAN ini tentunya adalah peningkatan kepada sentimen anti-Muslim dan jenayah kebencian terhadap orang Islam.
Apabila orang jahat itu seringkali digelarkan dengan pelbagai nama-nama panggilan seperti “Radikal Islam”, “pengganas Islam”, dll.— hanya satu perkataan yang berulang-ulang dalam gelaran-gelaran ini akan kekal dalam ingatan, dan ianya tidak lain tidak bukan; Islam. Malah situasi ini amat jelas sewaktu kempen pilihanraya presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016 apabila pengurus kempen Donald Trump dengan bangganya mengisytiharkan “Pelan tindakan 5 langkah untuk mengalahkan Islam,” yang pada akhirnya ditarik semula kerana menyedari bahawa beliau telah “terlajak kata”.[34] Ini mengajak kita untuk bertanya—mengapa perlu anda berkeras untuk menggunakan sebuah terminologi yang membenarkan anda untuk “terlajak kata” mengisytiharkan perang keatas sebuah agama serta mengklasifikasikan penganut sebuah agama yang memiliki 1.6 bilion penganut sebagai penjenayah? Dan mengapa juga seseorang itu perlu menggunakan label  yang—dengan “terlajak kata”—tersalah anggap sekutu mereka sebagai musuh? Fitnah dan bahaya melabel pergerakan pengganas sebagai wakil kepada Islam adalah amat nyata. Lebih buruk lagi, 1.6 bilion penganut agama Islam telah digambarkan sebagai Muslimin palsu secara senyap, kerana secara halusnya (dan kadang-kala tidak secara halus[35]) mencadangkan bahawa mereka sebenarnya menganut Islam yang tidak tulen atau secara harfiahnya mengikut kitab suci. Andaian bahawa “literalisme=radicalisme,” walaupun berleluasa, adalah tidak dapat disokong secara akademik.[36] Kumpulan-kumpulan militan juga seringkali terlibat dalam perbalahan yang rumit dan retorik politik/emosi untuk cuba meyakinkan umat Islam yang lain bahawa makna langsung arahan-arahan dalam Al-Quran adalah salah sama sekali—bahawa larangan membunuh diri dalam Al-Quran (Qur’an 4:29) adalah tidak ada kaitan langsung dengan pengeboman berani mati (mereka lebih suka menggelarkannya ‘operasi syahid pengorbanan diri’), atau arahan Al-Quran untuk hanya menentang mereka yang menentang kamu (Qur’an 2:190) mestilah difahami secara kiasan sahaja, dalam bentuk yang paling luas untuk menjadikan semua umat manusia di dunia ini terlibat dalam perperangan ‘global menentang Islam.’ Osama Bin Laden, sebagai contoh, pernah dicabar pendapatnya yang menyokong serangan 9/11 kerana Nabi Muhammad ﷺ dengan nyata sekali mengutuk apa sahaja serangan yang melibatkan orang awam; beliau membalas bahawa arahan itu hanyalah relatif, “Saya bersetuju bahawa Nabi Muhammad melarang pembunuhan kanak-kanak dan wanita. Benar tetapi ia bukanlah suatu yang mutlak… Kita mesti lakukan apa yang mereka lakukan. Jika mereka membunuh kaum wanita kita dan mereka yang tidak bersalah, kita akan membunuh kaum wanita mereka dan orang-orang mereka yang tidak bersalah sehinggalah mereka berhenti.”[37] Pengganas-pengganas ini menjadikan unsur dendam sebagai sumber kekuatan mereka, dengan berhujah bahawa pembunuhan kaum wanita dan kanak-kanak  yang dilakukan oleh pihak musuh adalah justifikasi tindakan balas mereka dengan membunuh kaum wanita dan kanak-kanak dikalangan musuh—walaupun pembunuhan kerana dendam sebegini adalah amalan jahiliyah yang telah ditegah dan dilarang oleh Rasulullah ﷺ.[38] Pihak pengganas ini bukan sahaja menjauhkan diri mereka daripada tafsiran harfiah, malah mereka juga menjauhi apa sahaja ayat-ayat suci yang memberikan kesulitan kepada kepentingan politik mereka.
Asal usul gerakan pengganas di dalam dunia Islam
Jika ajaran Islam dengan jelas mengutuk dan tidak bersetuju dengan pembunuhan-pembunuhan seperti ini, jadi bagaimanakah kekusutan ini boleh berlaku? Fenomena keganasan ini adalah sebuah fenomena yang baharu, oleh itu apa sahaja usaha saintifik untuk menjelaskan kemunculannya mestilah mempertimbangkan pertimbangan sejarah terkini. Apa yang telah berlaku di Timur Tengah yang mempercepatkan pergolakan ini dan menetapkan kemunculan pergelakan politik ganas ini? Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan pergerakan pengganas seperti Al-Qaeda dan kumpulan susulannya, ISIS? Dari sudut psikologinya pula, apakah transformasi yang perlu hadir di dalam minda seseorang manusia untuk menjadikan dia mampu berlaku ganas dan kejam? Satu kajian luas mengenai kes-kes kontemporari dan dari masa lalu mungkin dapat memberikan sedikit pandangan kepada kita bahawa kemunculan dan percambahan kumpulan-kumpulan pengganas ini, walaupun secara multifaktorial, ia mungkin dapat dirumuskan mengikut faktor-faktor berikut: 1) penindasan politik, kegawatan dan ketidakstabilan; 2) keadaan penduduk yang menderita dan trauma; dan 3) ketua yang fanatik dengan ideologi totalitarian.[39]
Seperti api yang memerlukan udara, bahan api, dan haba, ketiga-tiga elemen yang telah disebutkan tadi adalah intipati penting dalam percambahan sebuah kumpulan pengganas. Adalah mudah bagi kita untuk melihat bagaimana faktor-faktor tadi berlaku di dalam sejarah terdekat di Timur Tengah. Terdapat banyak negara-negara Islam ataupun tempat-tempat yang mempunyai majoriti penduduk Islam di dunia ini, namun kawasan-kawasan di Timur Tengah telah menderita dibawah pemerintahan kuku besi selama seabad, dimana penduduk-penduduknya diperintah dengan kejam dan dilucutkan dari sebarang hak asasi manusia dan kebebasan. Kuasa-kuasa luar juga sering menunjukkan minat yang tinggi ke atas kawasan ini dan juga tidak berkeberatan untuk menggerakkan tentera mereka ketika ‘Perang Minyak,’ seperti yang telah disebutkan oleh Toby Craig Jones, professor Sejarah Timur Tengah di Universiti Rutgers:
Corak militerisme yang bermula di Teluk Parsi pada tahun 70an telah menjadi sebahagian dari produk sokongan Amerika dan pergerakan ketenteraan secara sengaja  dan rejim autoritarian yang terdedah. Penjualan senjata kepada autokrat minyak yang berleluasa dan keputusan untuk untuk mewujudkan arahan ketenteraan geoplitikal di Teluk yang bergantung kepada dan memberikan kuasa kepada ketua-ketua di sana mengakibatkan keseimbangan kuasa yang rapuh yang penuh ketenteraan.[40]
Setelah hidup berdekad lamanya dibawah pemerintahan kuku besi sebuah rejim (yang telah membunuh 227,000 kanak-kanak Iraq sekitar tahun 1991–1998),[41] suasana menjadi lebih buruk akibat pencerobohan ke atas Iraq pada tahun 2003, yang terbukti membawa kesan-kesan yang amat buruk ke atas rantau ini. Ada yang menganggarkan seramai 700,000 atau lebih penduduk Iraq maut sepanjang 3 tahun tempoh pencerobohan tersebut.[42] Tahap penderitaan di rantau ini sukar diterima akal; statistik berikut mungkin dapat memberi satu gambaran mudah mengenai penderitaan yang mereka lalui: di  bandar Fallujah sahaja, terdapat lebit daripada 14 kali kes kecacatan kelahiran akibat radiasi (dari uranium hancur dalam senjata) daripada jumlah kedua-dua gabungan kes-kes di Hiroshima dan Nagasaki.[43] Kebanyakan kecacatan teruk yang tular keatas bayi baru lahir tidak pernah dilihat oleh doktor-doktor sebelum ini. Sebuah populasi yang trauma adalah sebuah populasi yang terdedah. Ia mendatangkan sebuah konteks yang cukup matang untuk mendatangkan sebuah pergerakan pengganas dengan kekacauan yang tidak pernah disaksikan langsung sebelum ini. Profesor Ian Robertson, pakar psikologi dan ahli sains saraf, menjelaskan bahawa samada ia adalah pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi, gipsi mahupun orang kurang upaya oleh rejim Nazi ataupun pembunuhan beramai-ramai Bosnia oleh rejim Serbia, atau penyembelihan penduduk-penduduk Kemboja oleh rejim Khmer Rouge—asal-usul keganasan ke atas manusia sering berlaku walaupun ia berlainan ideologi. Beliau juga menunjukkan bahawa ISIS juga dipacu oleh sebuah populasi yang terdedah dengan keganasan serta penindasan dan retorik dendam.[44] dalam situasi yang paling ekstrim, dimana keganasan telah menjadi suatu kebiasaan, minda manusia akan menjadi cacat, membolehkan perkara-perkara yang paling tidak bermoral dan tidak dapat disangkal berlaku. Ketika keganasan Nazi ke atas kaum Yahudi berlaku, kem tahanan Kapo menjadikan mangsa-mangsa keganasan ini sebagai pelakunya. Dalam kes pemberontakan Naat Turner, hamba Afrika-Amerika di AS, wanita dan kanak-kanak dibunuh untuk menyebarkan rasa “takut dan cemas”—mangsa-mangsa keganasan perhambaan itu sendiri menjadi mangsa keganasan sembarangan tersebut. Selepas peperangan pada 2003 di Iraq, rejim yang sedia ada telah ditumbangkan dan wujud sebuah vakum kuasa. Di sebuah rantau yang dahulunya menyaksikan  satu per tiga perkahwinan antara puak Syiah dan Sunnah, sebuah baka baharu politik sektarian yang ganas muncul. Kerajaan yang baharu pula mewarisi pengasingan kumpulan-kumpalan etnik yang berbeza melalui penganiyaan kejam yang serupa. Selain itu, bekas tentera rejim Saddam Hussein masih lagi berperanan dalam perkembangan-perkembangan yang berlaku kemudiannya.
New York Times melaporkan pada Ogos 2014, ramai general-general utama ISIS adalah bekas pegawai-pegawai tentera rejim Saddam Hussein.[45] Kita sepatutnya berasa pelik—mengapakah bekas-bekas general-general Baath yang sememangnya dikenali umum sebagai pengamal sekular yang tegar menyertai sebuah gerakan agama? Adakah mereka telah mengalami sebuah kebangkitan spiritual sekelip mata, atau kemungkinan besar mereka ini adalah individi-individu gila kuasa yang oportunistik yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali mendapatkan kuasa lalu berkerjasama dengan ISIS dan menentang kerajaan? Malah, sejarawan dan penyelidik Truls Hallberg Tønnessen menyatakan bahawa terdapat banyak penjara-penjara AS seperti Kem Bucca dijadikan sebagai tempat pertemuan untuk pemberontak, penjenayah kecil-kecilan, dan pegawai-pegawai Baath yang bersama-sama berkongsi perasaan benci kepada kerajaan Syiah yang diketuai oleh Nuri al-Maliki dan membina sebuah organisasi baharu dengan sebuah ideologi baharu.[46] Penjenayah, tentera, pengikut fanatik, pemberontak, semuanya bergabung dan gabungan jelik ini telah membawa kepada tertubuhnya kumpulan pengganas moden yang dikenali sebagai ISIS. Ideologi retorik ini memberikan mereka suatu cara untuk menjalankan jangkauan global dan menjadi sebuah platform untuk merekrut pengikut dari seluruh dunia. Di negara-negara barat, individu-individu yang menganggotai ISIS pula telah digoda dengan retorik konflik eksistensial antara Barat dan Islam (sebuah retorik yang terus di api-apikan oleh media di Barat). Individu individu yang terlibat dengan keganasan selalunya tidak bersosial, lazimnya diradikalkan melalui internet, terpisah dari komuniti Islam tempatan mereka dan juga mereka didapati tidak memiliki didikan agama yang mencukupi. Sebuah dokumen penyelidikan MI5 yang telah dibincangkan oleh The Guardian, memetik:
Mereka bukanlah fanatik agama, sebahagian besar dari mereka yang terlibat dengan keganasan bukanlah pengamal agama yang baik. Ramai antara mereka buta agama dan boleh dianggap sebagai masih lagi bertatih dalam amalan agama. Sedikit sahaja dalam kalangan mereka yang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kuat beragama, dan terdapat juga bilangan yang agak besar antara mereka adalah penganut yang baharu bertukar agama. Ada antara mereka pernah terlibat dengan pengambilan dadah, meminum arak, dan melanggani pelacur. MI5 juga telah menemukan bukti bahawa sesebuah agama yang mantap adalah agama yang menentang sebuah radikalisasi yang ganas.[47]
Analisa ideologi gerakan pengganas—Bagaimana Islam dijadikan sebuah mitos keganasan oleh ekstrimis
Berikut adalah sebuah komponen perbincangan yang sering terlepas dari pandangan intelek dan juga mereka yang berniat baik, namun ia adalah yang paling kritikal. Ramai umat Islam, yang bersemangat untuk menafikan apa sahaja yang mengaitkan Islam dengan keganasan, membuat kesilapan yang mudah dengan merumuskan sesuatu peristiwa sebagai suatu peristiwa politik dan mengabaikan bagaimana gerakan pengganas ini mempergunakan retorik agama sebagai alat yang kritikal dalam perkembangan ideologi totalitarian dan xenofobik mereka. Sebaliknya, ramai penulis-penulis hanya berbincang mengenai sisi ideologinya dan juga mengandaikan pergerakan pengganas ini muncul dalam sebuah vakum sosio-politik. Mereka tidak memberikan perhatian kepada impak-impak ketidakstabikan politik, penindasan dan perperangan kepada kebimbangan harian mereka yang berada di sebuah masyarakat Islam.[48] Malah seorang ahli antropologi, Gabriele Marranci berkata,
Punca utama [kepada memberikan fokus eksklusif kepada ideologi] adalah cedekiawan-cendekiawan ini tidak pernah tinggal bersama-sama dan selalunya tidak pernah bercakap dengan umat Islam dari masyarakat dan negara-negara yang lain.[49]
Ramai pakar dan ahli polemik terus menyalahkan Islam, dan gagal mengasingkan Islam amalan Muslim arus perdana dan doktrin-doktrin ideologi yang dikembangkan oleh organisasi-organisasi jenayah yang membezakan mereka dengan majoriti penganut-penganut agama Islam yang lain. Mereka menyatakan bahawa perkataan ‘Islam’ itu perlu digunakan dengan betul untuk mengenalpasti musuh. Ya, ia adalah berbahaya jika kita gagal untuk mengenal pasti ideologi musuh kita. Tetapi adalah lebih berbahaya sekiranya ideologi mereka dikecilkan kepada label ‘Islam’ yang mana ia dikongsi dengan satu per lima penduduk dunia ini, lalu dengan sengaja mengabaikan apa yang membezakan kumpulan-kumpulan ini dan apa yang merangsang pergerakan mereka. Jadi apakah doktrin agama utama yang menjadi penggerak kepada organisasi-organisasi ini? Bagaimanakah ide-ide ini berubah dan bagaimanakah ia berbeza dari kepercayaan umat Islam arus perdana? Apakah prinsip yang dicipta oleh organisasi-organisasi ini yang memesongkan mereka dari teologi ke mitos dari pandangan umat Islam yang lain? Sesetengah ahli sosiologi dan saintis politik telah memberi fokus kepada salasilah sejarah ide-ide kumpulan-kumpulan radikal ini,  mereka mengesan pengaruh beberapa ahli fikir berpengaruh di dalamnya dan dari segi konteks dimana ia muncul. Kebanyakan suara-suara dalam kalangan dunia Islam mula memberikan penekanan kepada pergerakan politik dan penentangan westernisasi ke atas negara-negara Islam selepas zaman kolonial.[50] Pada zaman ini, negara-negara bermajoriti Islam menderita dibawah pemerintahan diktator, dimana mereka dilihat sering cuba untuk menyekat kebebasan dan cuba dengan aktif mengubah negera mereka ke arah negara sekular. Sesetengah aktivis politik cuba untuk menggerakkan rakyat negara itu untuk menentang kerajaan-kerajaan yang menindas mereka, dengan menyatakan objektif utama Islam adalah untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang dipimpin mengikut ajaran Islam dan menghapuskan pemerintahan sekular. Retorik ini akhirnya diambil oleh para ekstrimis dan menggabungkannya dengan doktrin universal dan konflik berterusan untuk menentang pemerintahan bukan Islam.[51] Pada tahun 1979, apabila Afghanistan diceroboh oleh Soviet Union, terdapat kumpulan-kumpulan penentang yang telah menyeru kepada umat Islam seluruh dunia untuk menyertai kempen mereka, dengan mengatakan ia adalah wajib untuk seluruh umat Islam bagi mempertahankan negara Islam dari penjajahan negara luar, dan hanya melalui jihad fizikal sahajalah kegemilangan Islam akan kembali pada zaman moden ini. Oleh kerana tujuan ini bercampur baur dengan emosi, retorik ini semakin lama menjadi semakin ekstrim dan semakin jauh dari ajaran Islam yang sebenar. Pada tahun 1996, Osama Bin Laden pula memanggil umat Islam untuk berjihad menentang Amerika, dengan alasan-alasan kehadiran tentera Amerika di Arab Saudi, penglibatan Amerika dengan kehilangan nyawa umat Islam melalui sokongan mereka kepada pendudukan Israel ke atas Palestin, dan sekatan ekonomi ke atas Iraq serta lain-lain penglibatan mereka di dalam konflik-konflik rantau lain di kalangan dunia Islam.[52]dengan memanipulasi keluhan-keluhan yang dikongsi umat Islam seluruh dunia, Osama bin Laden berjaya melebarkan pengaruh dan tarikannya, namun beliau telah melanggar larangan yang penting dalam kod etika Islam, iaitu serangan ke atas orang awam. Walaupun beliau mengajak umat Islam untuk mengenepikan perbalahan dan perbezaan antara umat Islam sendiri dan bersatu untuk mendapat kekuatan politik yang lebih kuat, dengan kehadiran serpihan Al-Qaeda di Iraq iaitu ISIS, ajakan ini juga telah diabaikan demi mengutamakan fahaman sektarian yang berbahaya dan totalitarian yang tiada toleransi dan ganas. Bagi ISIS, perang bukanlah suatu cara, tetapi ia adalah penamatnya, pertumpahan darah dan keganasan disanjung tinggi oleh mereka. Oleh itu, evolusi ideologi beransur-ansur memuncak di dalam sebuah kultus lalu berubah menjadi sebuah mitos keganasan. Jadi apakah komponen-komponen penting sesebuah ideologi yang memeberikan definisi kepada kumpulan pengganas moden seperti ISIS? Motif mereka dapat dirumuskan kepada lima faktor utama: 1) Utopia Khalifah; 2) penafian hak manusia atas nama Walaa’ wal-Baraa’; 3) Takfeerisme; 4) Jihad Totalitarian; and 5) Apokaliptikisme. Setiap doktrin memerlukan sebuah artikel berasingan mengenai implikasi dan asal-usul mereka. Namun buat sementara ini, hanya huraian ringkas sahaja akan diberikan.
‘Khilafah’ sebuah utopia
Satu ciri kritikal banyak kumpulan-kumpulan militan ini adalah sebuah fantasi untuk mencipta sebuah masyarakat dunia Islam yang sempurna dengan menghidupkan semula ‘sistem pemerintahan khalifah’ atau ‘khilafah’. Tetapi apakah khilafah? Khilafah, dari segi bahasanya bermaksud pewarisan tetapi dari sudut sejarah, ia merujuk kepada kepimpinan politik dunia Islam. Tidak dapat dipastikan apakah jenis kepimpinan politik yang digunakan kerana perkataan khalifah telah diberikan kepada mereka yang telah dipilih oleh komuniti mereka (sebagai contoh pada zaman khulafa ar-rasyidin) dan juga sebagai sistem monarki (seperti yang diamalkan oleh dinasti Umayyad dan dinasti-dinasti Islam yang lain), ataupun sekadar gelaran ketua yang tidak mempunyai sebarang kuasa (seperti pemerintaha dinasti Abbasiyah semasa pemerintahan Buwayhid dan empayar Seljuk). Untuk memberikan sebuah definisi kepada konsep khalifah dan kerajaan Islam pada zaman bangsa-negara dan hubungan antarabangsa serba moden ini, terdapat banyak  definisi yang berbeza yang cuba diberikan dengan menggambarkan pelbagai konsep demokrasi perlembagaan, perbezaan perlembagaan Islam dengan sekular dan  kedaulatan popular(untuk semakan dan bibliografi karya-karya tersebut rujuk kepada Andrew F. March, Political Islam: Theory, 2015). Apa yang lebih penting, pergerakan militan, tidak peduli dengan apa-apa sistem politik kerajaan yang koheren, apa yang penting bagi mereka hanyalah sebuah simbol atau imej dipermukaannya sahaja. Perkataan khilafah pula mendorong perasaan rindu yang sangat kuat kepada zaman pra-kolonial dimana umat Islam memerintah sendiri negara menurut nilai-nilai yang mereka terapkan sendiri. Umat Islam seluruh dunia sentiasa membincangkan zaman kegemilangan sains Islam, dan tradisi sejarah cendekiawan Islam, universiti-unuversiti, dan hospital-hospital yang telah dirintis terlebih dahulu dalam dunia Islam dan lain-lain. Tetapi apabila difikirkan semula, dengan hanya menyebut perkataan khilafah, secara tiba-tiba sebuah peradaban yang masyhur dan gilang gemilang tiba-tiba muncul di sebuah padang pasir hanyalah sebuah fantasi. Apa yang penting di sini adalah untuk kita menyedari bahawa bukanlah gelaran seorang pemimpin yang menjadi ukuran tetapi bentuk pemerintahan yang sebenar dan penubuhan sebuah prinsip beretika dalam perlembagaan Islam—adil, telus, dan menegakkan hak orang ramai.[53] Cendekiawan Islam telah menyatakan elemen yang penting dalam sebuah negara Islam itu adalah sistem keadilan dan keselamatan telah tertubuh kukuh.[54] Pemerintah adalah seorang wakil dan hamba kepada rakyatnya, bukannya maharaja.[55] situasi yang berlaku di negara-negara Islam tidak akan selesai tanpa memperkenalkan semula prinsip-prinsip pemerintahan beretika ini.
Penafian hak manusia atas nama Walaa’ wal-Baraa’
Walaa’ wal-Baraa’ (kesetiaan dan kecurangan) adalah sebuah terma yang digunakan oleh ahli teologi untuk merujuk kepada pengekalan pertalian terhadap semua yang mulia dan dicintai oleh Tuhan, disamping berusaha untuk memisahkan diri dari hal-hal yang tidak bermoral dan yang dibenci-Nya. Tetapi dibawah tafsiran kumpulan militan, konsep ini telah menjadi klasifikasi kasar kepada semua manusia kepada baik melawan jahat, dengan mendakwa bahawa semua orang bukan Islam adalah jahat dan melakukan kejahatan dan mesti dilayan dengan buruk. Dengan meletakkan dunia dalam sebuah konflik “kita melawan mereka”, mereka menafikan hak kemanusiaan orang luar dan menafikan kesejahteraan mereka. Mana-mana individu Islam yang berkawan atau mengekalkan perhubungan baik dengan orang bukan Islam akan dianggap sebagai pembelot dan akan diletakkan dibawah kategori pelaku kejahatan juga. Ini juga bertentangan dengan amalan dan ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Baginda mengalu-alukan penganut agama-agama lain dan juga mereka dari latar belakang yang berbeza seperti mana yang kita dapat lihat bagaimana layanan baginda kepada diplomat-diplomat Kristian Najran dan keluarga-keluarga Yahudi di Madinah, dan baginda juga melindungi hak-hak kedua-dua umat Islam dan orang bukan Islam seperti yang kita telah lihat dalam penglibatan baginda dalam perjanjian Hilf al-Fudul (perjanjian antara beberapa puak di Madinah untuk melindungi sesiapa sahaja yang ditindas).Rasulullah ﷺ menunjukan rasa hormat dan penghargaan kepada orang bukan Islam seperti Mut’im ibn Adi yang menentang boikot orang-orang Quraish ke atas orang-orang Islam. Baginda juga mengajar pengikutnya bahawa mereka dapat hidup dengan aman dan sentosa dikalangan puak-puak mereka yang tidak menganut agama Islam, sepertimana yang telah diberitahu kepada sahabat baginda yang bernama Fudayk (Sahih Ibn Hibban). Ia juga jelas di dalam The Qur’an (9:60) bahawa matlamat dalam Islam, termasuk zakat, adalah untuk memikat hati orang bukan Islam kepada masyarakat Islam, yang tidak mungkin berlaku melalui kekerasan. Generasi awal umat Islam amat memahami prinsip ini; apabila Umar ibn al-Khattab (ra) adalah pemerintah empayar Islam, seorang petani Kristian dari Mesir datang bertemu dengan beliau, dan mengadu kepadanya tentang seorang putera beragama Islam, dan Umar, mendapati bahawa putera tersebut telah menganiayai petani tersebut, telah memerintahkan petani tersebut mendapat ganti rugi (Kanz al-Ummal). Ayat -ayat yang dipetik oleh kumpulan militan untuk menyokong ideologi konflik eksistensial selalunya adalah sebuah salah tafsiran tentang ayat-ayat yang merujuk kepada keadaan umat Islam dengan kaum Quraish Mekah. Contohnya ayat 60:1 dari Quran yang bermula dengan menyebut,
Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat
Tetapi kemudiannya memberi penjelasan bahawa ayat ini merujuk kepada kaum Quraisy yang
telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu (Qur’an 60:1).
Ayat ini kemudiannya memberikan Nabi Ibrahim sebagai contoh, dimana Nabi Ibrahim telah meninggalkan pengikutnya apabila mereka telah menolak ajarannya dan cuba untuk mencampaknya ke dalam api. Jelas sekali ayat-ayat ini tidak mengajar cara-cara interaksi yang biasa dengan orang bukan Islam yang aman, dan pastinya bahagian seterusnya ayat ini menjelaskan dengan lebih lanjut bahawa:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Qur’an 60:8).
Absolutisme Takfeer
Dogma utama gerakan pengganas ini adalah pemulauan mana-mana Muslim yang tidak bersetuju dengan prinsip-prinsip mereka. Di dalam bahasa Arab ia disebut sebagai takfeer—amalan menggelarkan atau mengishtiharkan seseorang itu sebagai kafir. Qur’an melarang amalan bongkak ini,
Janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (Qur’an 4:94).
Baginda Rasulullah juga ﷺ mengutuk perbuatan ini dengan bersabda,
Barang siapa yang menuduh saudaranya kafir, dirinya adalah bersalah sebaliknya (Sahih Bukhari).
amalan takfeer ini adalah ciri utama sebuah kumpulan ajarran sesat terawal yang dikenali sebagai Khawarij. Kumpulan ini menentang sahabat-sahabat nabi, kerana yakin bahawa mereka adalah umat yang terbaik amalan mereka dan suci. Nabi Muhammad ﷺ telah membayangkan kedatangan Khawarij dan memberikan gambaran mereka—pemuda yang bersemangat tinggi tanpa bimbingan cendekiawan, berperawakan alim secara luaran tetapi tiada spiritualiti yang sebenar, mempunyai slogan yang mengkagumkan tetapi berlaku jahat. Takfeer juga digunakan oleh gerakan pengganas untuk mengishtiharkan semua negara Islam yang diperintah oleh pemerintah yang ‘memerintah dengan cara yang selain dari apa yang diwahyukan Tuhan” sebagai negara yang kafir. Mereka dipacu oleh sentimen-sentimen ketidakpuasan hati dengan pemerintahan diktator sedia ada yang popular di kebanyakan negara-negara Islam, oleh itu mereka berupaya untuk merekrut orang ramai dengan niat untuk mewujudkan semula pemerintahan berdasarkan keimanan sebenar.
Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam). (Qur’an 22:39–40)

Totalitarian Jihad

Jihad adalah sebuah perkataan yang sering disalah guna dalam daftar kata Islam. Dari segi linguistik, perkataan ini membawa makna perjuangan dan Rasulullah ﷺ telah bersabda,
Seseorang yang melakukan jihad adalah seorang yang berjuang melawan nafsunya sendiri kerana Allah (Musnad Ahmad).
Di dalam Qur’an juga terdapat konsep jihad fizikal—amalan ketenteraan yang sah dan adil jika ia dilakukan untuk melawan serangan musuh (Qur’an 22:39) dan menyelamatkan orang lain dari penindasan (Qur’an 4:75). Qur’an melarang keganasan ke atas orang awam ataupun mereka yang tidak terlibat dengan pertempuran menentang orang Islam (2:190). Namun kepada perancangan kumpulan pengganas, ini adalah senjatanya yang paling bernilai. Kepada mereka, jihad memberikan sebuah signifikasi sebuah konflik kekal antara kebaikan dan kejahatan dan mereka bertegas bahawa hubungan umat Islam dengan orang bukan Islam mestilah kekal ganas dan dicemari dengan pertumpahan darah sehingga hari kiamat.[56] Mereka juga mengabaikan penegasan yang telah di unjurkan oleh Rasulullah untuk berusaha kearah keamanan, seperti yang telah diterapkan di dalam perjanjian Hudaybiyyah, atau firman Allah untuk berhenti berlawan sebaik sahaja musuh berhenti berlawan:
Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.(Qur’an 2:193)
Kumpulan-kumpulan ini mengatakan bahawa pergolakan ganas ini adalah satu-satunya cara untuk mengembalikan semula pemerintahan khalifah. Pendidikan, reformasi sosial, penjagaan kesihatan, pekerjaan—semua ini tidak diendahkan oleh pengikut-pengikut ideologi ini kerana ia dianggap sebagai suatu penyelesaian yang tidak lengkap kepada masyarakat Islam. Dalam minda mereka, dunia Islam hanya dapat diselamatkan dengan keganasan. Adalah berbaloi untuk bertanya kepada mereka, adakah keganasan pernah menyelesaikan apa-apa masalah dalam dunia Islam? Siapakah yang memperoleh keuntungan dari segala keganasan ini? Adakah terdapat pengurangan ataupun peningkatan dalam kadar penindasan di negara-negara Islam? Adakah nyawa-nyawa mereka yang tidak bersalah dapat diselamatkan atau mereka tetap terbunuh? Adakah kebencian terhadap Islam dan jenayah-jenayah terhadap penganutnya berkurangan, ataupun ia bertambah? Jelas sekali, cara yang telah digunakan ini hanya mendatangkan kesan buruk dan negatif sahaja.
Apokaliptikisme
Bahagian akhir struktur mitos kepercayaan ekstrimis ini adalah sebuah ide merepek bahawa mereka adalah ejen kiamat, penyambut kedatangannya ke dunia ini. Umat Islam percaya kepada hari kiamat dan eskatologi Islam selalu membincangkan tentang ‘pengakhiran masa’ diamana keganasan dan kekerasan menjadi lebih nyata. Namun apa yang membezakan visi kiamat ISIS dari umat Islam yang lain adalah kepercayaan mereka yang yakin mereka akan membawa kedatangan hari kiamat, dan juga akan memulakan perperangan mutlak antara kebaikan dan kejahatan di Dabiq (mereka menamakan majalah mereka sempena nama sebuah bandar). Hasil dari interpretasi eskatologi melampau mereka, mereka percaya yang perhambaan akan menjadi lebih nyata pada akhir zaman, dan mereka dengan sendirinya perlu memulakan kembali perhambaan itu dengan memperhamba wanita. Pendekatan mereka ini terlepas pandang beberapa perkara asas yang penting didalam teologi Islam. Pertama, hari kiamat, tidak akan terjadi dengan bantuan manusia, ia hanya akan terjadi dengan kemahuan Tuhan. Manusia hanya perlu terus untuk melakukan kebaikan sepanjang kehidupan mereka di muka bumi ini. Kedua, hanya kerana sesuatu itu kelihatan seperti sebuah tanda kiamat tidak bermakna yang seseorang itu boleh menghadirkan sebuah pendapat agama darinya. Bagi menyatakan bahawa seseorang itu perlu memperhambakan orang kerana pada penghujung masa, akan ada ramai hamba adalah salah—memperhambakan orang adalah salah dalam Islam. Rasulullah ﷺ berkata pada hari kiamat orang yang memperhambakan seorang yang bebas, akan berdepan dengan Allah sebagai musuh-Nya (Sahih Bukhari), dan di dalam Qur’an juga mengatakan memerdekakan hamba adalah sebuah jalan kepada Allah (90:11-16). Yang ketiga, seseorang itu tidak boleh mendesak penafsiran tertentu tanda-tanda yang telah dibayangkan oleh Rasulullah ﷺ akan mendahului hari kiamat. Sebagai contoh, sebuah tafsiran yang paling berwibawa tentang hadith yang dimaksudkan kepada (“seorang hamba akan melahirkan tuannya”)[57] mencadangkan bahawa ia merujuk kepada sifat-sifat negatif orang-orang muda terhadap ibubapa mereka.
Kesimpulan
Mencapai impak positif kepapa kemanusiaan adalah cita-cita yang paling mulia. Nabi Muhammad ﷺ bersabda, “yang terbaik dikalangan kamu adalah mereka yang banyak memberi manfaat kepada orang lain” (al-Tabarani). Islam adalah sebuah gaya hidup yang menyatukan perjalanan spiritual manusia ke arah Allah dengan perjalanan moral untuk menjaga orang lain. Ini adalah sebuah cara hidup yang ditonjolkan oleh salah satu peradaban yang hebat di dalam sejarah, dan hari ini ia adalah sebuah cara hidup yang dipegang utuh oleh satu per lima populasi penduduk dunia. Ideologi ganas dan terkutuk dalam dunia moden ini adalah satu malapetaka yang mengancam kita semua dan sebuah usaha kolektif perlu ada untuk menentangnya dari setiap peringkat. Akan tetapi apabila pakar-pakar dan ahli-ahli politik melibatkan diri mereka dengan retorik Islamofobik dan melabel Islam itu sendiri sebagai musuh, mereka telah melakukan suatu yang merbahaya—mereka telah melukis satu garisan yang meletakkan umat Islam di sebelah pihak musuh. Mereka telah menggunakan kebencian terhadap sebuah organisasi jenayah di luar negara untuk mengapi-apikan kebencian ke atas keluarga-keluarga Islam di negara mereka sendiri. Secara tidak langsung mereka sendiri telah membantu kepentingan organisasi-organisasi pengganas ini dimana mereka tahu sebuah retorik sebegini akan mengasingkan kumpulan minoriti ini dan meyakinkan mereka yang perperangan menentang Islam sememangnya wujud. Naratif yang dipromosikan oleh kedua-dua puak pembenci Islam dan fanatik keganasan mesti ditentang dengan analisis ke atas topik Islam dan keganasan yang berfakta dan berobjektif. Perbincangan ini telah memberikan tumpuan kepada beberapa isi penting: Keganasan tidak khusus hanya kepada sesebuah sistem kepercayaan, tetapi  gerakan pengganas yang telah menyerap ide-ide dari agama, nasionalisme, etnik, budaya atau apa sahaja ideologi bukan agama untuk membina sebuah ideologi totalitarian. Islam mewakili komuniti penganut seramai 1.6 bilion orang yang berpegang kepada nilai-nilai kasih sayang seperti yang disebutkan dalam ayat, “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Qur’an 41:34), dan juga amalan Rasulullah ﷺ yang telah mengajar toleransi dan mengasihani semua orang. Gerakan pengganas memanipulasi retorik agama dan mengolah semula daftar kata Islam untuk berkhidmat kearah agenda mereka sendiri. Walaupun mereka menganggap diri mereka sebagai Islam, apabila dinilai semula mereka tidak ada persamaan langsung dengan majoriti umat Islam yang lain di seluruh dunia dari segi nilai-nilai amalan mereka dan mengabaikan langsung ajaran-ajaran dari kitab suci dan prinsip-prinsip asas Islam.
Gerakan pengganas tidak muncul dalam sebuah vakum tetapi berkembang dalam sebuah ketidakstabilan politik dan pergolakan, pengikut fanatik sesebuah ideologi  dan sebuah yang trauma terhadap perperangan. Terdapat sebuah doktrin yang mengasingkan gerakan pengganas ini dari penganut agama Islam yang lain, dan perhatian sepatutnya diberikan kepada menentang doktrin-doktrin ini dan sokongan haruslah diberikan kepada komuniti-komuniti Islam agar mereka dapat menentang retorik ini dari dalam komuniti mereka melalui ajaran Islam yang sebenar. Ini adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini: dengan mengasingkan retorik militan dan menghapuskan segala tuntutan bahawa ia adalah ‘Islam’. Hanya melalui sokongan terhadap usaha-usaha pendidikan yang memupuk nilai-nilai kasih sayang, mengasihani, keadilan, dan saling hormat menghormati sesama manusia, kita dapat bergerak ke arah menyelesaikan cabaran-cabaran masa kini.

[1] The Center for the Study of Hate and Extremism at California State University baru-baru ini menyatakan yang jenayah anti-Muslim meningkat 89% pada 2016 berbanding tahun sebelumnya. Ini seperti yang dibincangkan dalam http://www.huffingtonpost.com/brian-levin-jd/hate-crime-in-us-survey-u_b_12600232.html.

[6] World War I: 1914–1918 (Wars Day by Day). Jason Turner.

[8] The Age of Atheists. Peter Watson. Ch 10—The Bolshevik Crusade for Scientific Atheism. Dia memetik The Plot to Kill God: Findings from the Soviet Experiment in Secularization oleh Paul Froese sebagai sumber.

[9] Death by Government. R.J. Rummel (Rutgers, NJ: Transaction Publishers, 1994).

[11] Kerentanan sempadan konflik juga tertakluk pada penyelidikan. Contohnya, Francesco Caselli dan Wilbur John Coleman menawarkan model bagi keganasan dan ‘jarak etnik’, yang mana mereka mentakrifkannya secara luas bagi merangkumi kesan kumulatif “fizikal, agama, bahasa dan perbezaan budaya yang lain.” Caselli, F. and Coleman, W. J. (2013), On The Theory Of Ethnic Conflict. Journal of the European Economic Association, 11: 161–192.

[12] Bagi perbincangan mengenai kaitan antara agama dan bahasa pada keeratan intra-kumpulan, lihat Oromiya-Jalata Deffa. The impact of homogeneity on intra-group cohesion: a macro-level comparison of minority communities in a Western diaspora. Journal Of Multilingual And Multicultural Development Vol. 37, Iss. 4, 2016.

[16] Kesalahan ini juga terbukti dalam artikel 2015 yang banyak diterbitkan dari The Atlantic, berjudul “What ISIS really wants’’, di mana penulis Graeme Wood memasukkan kenyataan yang lompong, "Kenyataannya adalah bahawa Negara Islam adalah Islam. Sangat Islam." Ini semestinya tidak bermakna apa-apa tanpa menyatakan sama ada kita menggunakan definisi Islam menurut takrifan pengganas ataupun menurut takrifan arus perdana masyarakat Islam. Artikel ini cuba mengutarakan penegasan aneh ini dengan menggunakan petikan sastera secara sporadik tanpa merujuk pada tafsiran normatif tentang ayat-ayat yang sama daripada pihak berwibawa dalam masyarakat Islam arus perdana. Sebenarnya, rujukan utama akademik untuk artikel itu, Profesor Princeton Bernard Haykel, mengakui dalam wawancara CNN pada Februari 2015, "Saya bukan penentu sama ada ISIS menyeleweng [dari Islam] atau tidak ... anda harus menjadi Muslim dan seorang ahli hukum Islam bagi membuat penilaian.'' Bagaimanapun, pengakuan penting ini tidak disebut dalam artikel Wood, apatah lagi penegasan para ulama, imam dan pemimpin Islam di seluruh dunia yang mengisytiharkan ISIS sebagai bercanggah dengan Islam. Yang peliknya, artikel Wood lebih menumpukan pada usaha membezakan antara doktrin ISIS dan doktrin Al-Qaeda, dan bukannya membezakan antara kedua-dua kumpulan itu dan Islam arus perdana.

[17] Arjomand, Saïd Amir. “The Constitution of Medina: A Sociolegal Interpretation of Muhammad’s Acts of Foundation of the “Umma”” International Journal of Middle East Studies 41.4 (2009): 555-75. Web

[18] Said ibn al-Musayyib meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad (SAW) sering mendermakan wang kepada sebuah keluarga Yahudi, dan amalan ini diteruskan masyarakat Islam lama sesudah Nabi wafat. Kitab al-Amwal, Abu Ubayd al-Qasim ibn Sallam d224H, pp727–728, Dar alShuruq 1989.

[19] Seerah Ibn Hisham, vol. 2, p239.

[20] Khan MN. `Harmony with Humanity: Islam and Non-Muslims’, SpiritualPerception.org.

[21] Khan MN. `Top Five Misquotations of the Qur’an’, SpiritualPerception.org.

[22] Lihat perbincangan di bawah tajuk “When Muslim Men and Women express a desire for Sharia, what do they mean?” di dalam Who Speaks for Islam oleh Esposito dan Dalia Mogahed, pp.52–63  di mana mereka menjelaskan mengapa perkara ini penting bagi mentafsir sebarang data mengenai sikap orang Islam.

[23] Abu Ishaq al-Shatibi (d.790H), al-Muwafaqat, vol. 1, p38.

[24] Ini topik utama dalam fekah yang dikenali sebagai as taghayyur al-fatwa bi-taghayyur al-zaman (perubahan undang-undang agama seiring perubahan masa). Sebagai contoh, al-Sarakhsi (d.483H) menyatakan sebahagian besar perundangan Abu Hanifah (d.150H) diubah para pelajarnya, Abu Yusuf (d.182H) dan Muhammad ibn al-Hasan al-Shaybani (d.189H ), dan perubahan ini bukan disebabkan ketaksetujuan pada kitab suci tetapi hanya kerana keadaan masyarakat yang berubah dengan masa (al-Mabsut vol 8, p178). Jika begitu banyak keputusan yang berkaitan isu-isu sosial (mu'amalat) berubah dalam satu generasi, maka terdapat keperluan lebih besar bagi menilai semula dan mengontekskan keputusan pada zaman pasca perindustrian. Ini akan dijelaskan lebih lanjut dalam artikel akan datang tentang peranan ekonomi Malthusian pra-moden dalam kontekstualisasi wacana ahli perundangan zaman pertengahan, InshaAllah)

[25] Ibn al-Qayyim, I’lam al-Muwaqi’een vol. 4, 337, Dar Ibn} al-Jawzi 1st ed.

[26] The World’s Muslims: Religion, Politics, and Society (April 30, 2013). The Pew Research Center.

[27] Lihat, sebagai contoh, al-Sarakhsi (d.490H) Burhan al-Din al-Hanafi (d.616H), Ibn al-Sa’ati (d.694H) , Abu’l-Barakat al-Nasafi (d.710H) . Ibn al-Humam (d.861H) , in Fath al-Qadeer, menjelaskan alasan bagi mengaitkan keupayaan melawan umat Islam (vol. 5, p311). Pengertian ini juga dibuktikan riwayat Nabi mengenai perkara ini yang menyatakan yang hukuman itu berlaku pada orang yang memecah-belahkan dan menentang masyarakat— al-mufariqu li’l-jama’ah (Sahih Bukhari).

[28] Nabi Muhammad (SAW) mengadakan perjanjian dengan penduduk Mekah. Ia dikenali sebagai Perjanjian Hudaybiyyah, di mana salah satu artikel tersebut secara jelas membenarkan seorang Muslim yang meninggalkan Islam bagi kembali ke pangkuan penduduk Mekah.

[29] Keputusan tinjauan Pew dilaporkan dengan tepat di sini dengan pengesahan daripada James Bell dari pusat penyelidikan tersebut: http://empethop.blogspot.ca/2015/02/a-fact-check-of-bill-maher-and-his.html. Bagaimanapun, komen peribadi blogger ini dan percubaannya mentafsir menggambarkan dia kurang arif mengenai dinamika asas masyarakat Islam.

[30] Seperti yang dibincangkan dalam “Who Speaks for Islam” oleh John Esposito dan Dalia Mogahed, pp 73–74.

[31] Gambaran keseluruhan dari beberapa perspektif dan perbahasan yang berlainan mengenai topik ini boleh didapati di “Strategies for the justifications of Hudud Allah and their punishments in the Islamic tradition’’AlSoufi RHA. (PhD dissertation University of Edinburgh 2012).

[32] Al-Kasani, Badaa’i al-Sanaa’i, vol. 9, p250.

[33] Ini juga dianggap sebagai asas undang-undang moden yang dikenali sebagai Formulasi Blackstone, bersempena nama pengamal undang-undang Inggeris, Sir William Blackstone (d.1780CE) yang menyatakannya dalam Commentaries on the Laws of England (1760).

[34] https://thinkprogress.org/conway-trump-defeat-islam-36e37c212358.

[35] Dalam rancangan HBO oleh Bill Maher pada tahun 2014, ahli polemik anti-Islam, Sam Harris menyatakan umat Islam yang damai adalah "umat Islam nominal yang tidak percaya dengan sepenuhnya". Dalam erti kata lain, satu-satunya umat Islam yang tidak ganas adalah orang Islam palsu yang sebenarnya tidak mengamalkan ajaran agama mereka. Tafsiran ini ditangani dengan lebih terperinci di sini (The Tactics of Bigotry, Khan MN, SpiritualPerception.org).

[36] Chase Robinson, seorang profesor sejarah Islam menulis, “Di sini ia menekankan bahawa para Islamis tidak 'literalis', iaitu mereka berpegang teguh pada makna tersurat dalam Quran dan Sunnah Nabi. Sebaliknya, mereka memberi penekanan pada ayat-ayat yang sesuai dengan ideologi mereka, dan mengabaikan atau menolak ayat-ayat yang tidak sepadan dengan ideologi mereka.” (Robinson, Islamic Civilization in Thirty Lives: The First 1,000 Years. 2016. p.211).

[37] Temubual dengan wartawan Tayseer Alouni pada October 21, 2001 

[38] ISIS juga menggunakan logik balas dendam ini sebagai justifikasi dalam pembunuhan wartawan Amerika, Steven Sotloff. Dalam Dabiq edisi  keempat, mereka menulis, “Pembunuhannya adalah akibat kesombongan dan pelanggaran kerajaan Amerika Syarikat, sekaligus menuntut pertanggungjawaban oleh seluruh warga Amerika Syarikat kerana ia dilakukan kerajaan yang dipilih, diluluskan, dan disokong mereka melalui undi, pilihanraya, dan cukai.” Dipetik dari: http://www.independent.co.uk/news/world/middle-east/isis-publishes-letter-from-steven-sotloff-to-family-in-propaganda-magazine-9794613.htmlIbu Sotloff mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang Islam ketika dia memetik ayat Al-Qur'an, “Seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain.” Nabi Muhammad SAW menghapuskan amalan pembunuhan balas dendam itu sesudah baginda menguasai Mekah, dan ia bermula dengan menafikan tuntutan puaknya sendiri bagi membalas dendam atas kematian anak sepupunya, Rabi'ah ibn al-Harith.

[39] Ketiga-tiga faktor ini dibincangkan dalam pelbagai kesusasteraan yang berbeza kerana sifat dunia akademik moden yang sangat terasing, dengan ahli sosiologi menumpukan pada faktor persekitaran dan ketidakadilan sosial yang mencetus tindakan penduduk, manakala saintis politik memfokuskan pada pengaruh ideologi dalam penstrukturan gerakan politik, dan ahli psikologi pula memberi tumpuan pada kesan pengasingan sosial, pengasingan, dan trauma yang kompleks. Semua faktor ini relevan dengan perbincangan dan memerlukan pendekatan bersepadu.

[40] Toby Craig Jones. America, Oil, and War in the Middle East Journal of American History 2012 99: 208–218.

[41] Richard Garfield. Morbidity and Mortality Among Iraqi Children from 1990 Through 1998: Assessing the Impact of the Gulf War and Economic Sanctions.

[42] Gilbert Burnham et al. Mortality after the 2003 invasion of Iraq: a cross-sectional cluster sample survey. The Lancet , Volume 368, Issue 9545, 1421–1428.

[46]  Tønnessen, Truls Hallberg, “Heirs of Zarqawi or Saddam? The relationship between al-Qaeda in Iraq and the Islamic State”, Perspectives On Terrorism, vol. 9, No4, August 2015.

[47] Alan Travis. Laporan MI5 mencabar pandangan mengenai keganasan di Britain, The Guardian, August 20, 2008. https://www.theguardian.com/uk/2008/aug/20/uksecurity.terrorism1.

[48]  Ahli antropologi, Gabriel Marranci menggariskan tiga tesis berikut yang biasanya ditemui dalam perdebatan akademik mengenai kemunculan pergerakan ganas: “Islam, sebagai agama, lebih rentan pada keganasan dan fundamentalisme” (Bruce 2000); fundamentalis adalah seorang Muslim dengan matlamat politik yang kemudiannya memanipulasi Islam demi ideologi mereka sendiri (Esposito 2002, Hafez 2003, Milton-Edwards 2005); dan akhirnya, fundamentalisme Islam sebagai proses sejarah dimulakan pendukung ideologi Islam yang berkarisma (seperti Mawdudi, Al-Banna dan Qutb).” (Marranci, G. Understanding Muslim Identity—Rethinking Fundamentalism. 2008. p.21).

[49] Ibid. p58.

[50] Milton-Edwards menawarkan pandangan tentang bagaimana ketegangan ini membentuk banyak pergerakan moden dalam bukunya, Islamic Fundamentalism since 1945 (2005).

[51] Sebagai contoh, penerangan tentang istilah Jahiliyyah (kejahilan yang tidak Islami) oleh Sayyid Qutb sebagai ‘penguasaan ke atas satu pihak oleh pihak lain’ kadang-kadang digunakan bagi menyokong tanggapan bahawa Islam bersifat antitetis pada tamadun lain dan tidak boleh wujud secara bersama dengan kerajaan bukan Islam (William Shephard. Sayyid Qutb’s Doctrine of “Jahiliyya” . International Journal of Middle East Studies, vol 35, no 4, pp 521–545). Walaupun pengganas berminat mengeksploitasi idea-idea itu, ada yang berpendapat tulisan Qutb mesti difahami dalam konteks menentang rejim yang menindas, dan merujuk pada advokasi hak asasi manusia yang diketepikan pengganas; Sayyid Qutb menulis, “Penukaran agama secara paksaan adalah pelanggaran paling parah pada hak asasi manusia yang paling tidak boleh dilanggari... kebebasan kepercayaan adalah hak manusia yang paling berharga di dunia ini, dan harus dihargai dan dilindungi.” (In the Shade of the Qur’an: English translation of FI Zilal al Quran, vol 1, p212). Adil Salahi, penterjemah Qutb ke dalam bahasa Inggeris mengulas mengenai penggunaan tulisan-tulisan Qutb secara ekstrem, “Mungkin boleh dikatakan, mungkin dengan beberapa alasan, bahawa Sayyid Qutb agak terlalu keras dalam hujahnya, dan ini telah menyediakan platform untuk ekstremisme. Di sini, kita mendapati kita cuba menjawab soalan: sejauh manakah penulis boleh disalahkan kerana disalah faham pembaca? Dalam kes Sayyid Qutb, majoriti pembaca beliau menegaskan yang beliau mencerminkan jalan tengah  yang diamalkan Islam" (vol 7, xii) dan “keganasan dibenci [Sayyid Qutb] sebagaimana ia dibenci orang yang berfikiran adil yang menghargai keadilan dan kebebasan sebagai hak asasi manusia” (vol 8, xv).

[53] Ibn al-Qayyim (d.751H) menulis, “Tujuan undang-undang agama adalah menegakkan keadilan dalam kalangan manusia, jadi cara mana pun yang membolehkan penegakan keadilan dan keadilan dianggap sebahagian ajaran agama, dan tidak bertentangan dengannya” (Turuq al-Hukmiyyah fi Siyasah al-Shar’iyyah, p.11).

[54] Imam Abu Hanifah (d.150H): “Tujuan (maqsud) memanggil tanah tertentu 'Tanah Islam' atau tanah kekafiran (kufr), bukan tentang Islam atau kufr. Ia membezakan antara selamat dan tidak selamat” (Dipetik dari Bada’i al-Sana’i of Al-Kasani).

[55] Untuk gambaran ringkas, lihat perbincangan topik ini dalam Fiqh al-Thawrah (2013) oleh Dr. Ahmad al-Raysuni, pp. 22-27.

[56] Bagi meneguhkan tanggapan ini, rujukan sering dibuat pada pemikiran para fakih zaman pertengahan yang hidup pada zaman penaklukan imperialis dan menyokong dasar 'perluasan' yang berterusan ke atas kuasa-kuasa politik yang bermusuhan. Walau bagaimanapun, seperti yang ditunjukkan Profesor Sherman Jackson, kebimbangan utama para fakih seperti Ibn Rushd (d.595H) dan lain-lain, sebenarnya adalah demi memastikan keselamatan wilayah-wilayah Islam yang menghadapi ancaman pencerobohan asing (Jackson S. Jihad and the Modern World. Journal of Islamic Law and Culture vol 7 (1) ms 17). Sebaliknya, pergerakan pelampau menjejaskan keselamatan semua manusia dan melibatkan diri dalam pertumpahan darah yang tidak masuk akal, dan dengan itu, kaedah mereka benar-benar bersifat antitetis pada ajaran Islam.

[57] Ibn Hajar al-`Asqalani (d.852H) dalam Fath al-Bari (1/122). Lihat juga pandangan alternatif dalam Irshad al-Sari oleh al-Qastallani dan Fayd al-Bari oleh al-Kashmiri’ yang mana ia adalah kaedah linguistik yang merujuk pada kebalikan sesuatu perkara secara umum.